Ahad, 16 Januari 2011

Lapangan amal di Pariaman


Hadir ke Pariaman, Padang, Sumatera Barat merupakan peluang yang sangat baik untuk melaksanakan kerja-kerja amal dan sukarela. Perjalanan dengan pesawat AirAsia tidaklah lama kerana mengambil masa satu jam 10 minit.

Menjejakkan kaki di lapangan terbang Padang adalah pengalaman yang menyeronokkan. Urusan imigresen juga lancar dan tidak sibuk. Kawasan lapangan yang kecil memudahkan pelancong atau pelawat melihat suasana persekitaran lapangan yang berlatarbelakangkan bukit tinggi di pedalaman. Saya disambut oleh rakan-rakan yang sedang menunggu di situ dan kami beredar ke sebuah restoran masakan Padang kira-kira sepuluh minit perjalanan. Kali pertama merasa masakan Padang, ternyata pedas.

Perjalanan dari lapangan terbang ke Pariaman mengambil masa satu jam melalui kawasan bersawah padi. Suasana sekitar sangat mendamaikan kerana dipenuhi pemandangan sawah dan pohon kelapa. Rumah-rumah agak kecil dan terdapat kesan-kesan runtuhan di sana-sini. Keadaan jalan raya hanya muat untuk kenderaan yang bersaiz kecil seperti mini van dan kereta. Lori dan bas dikira agak besar. Tidak banyak lampu isyarat di persimpangan jalan tetapi perjalanan kenderaannya sentiasa lancar. Seperti juga di Malaysia, sesetengah pengguna jalan raya tidak mempedulikan lampu isyarat merah.

Pariaman popular dengan motosikal yang menjadi nadi pengangkutan malah dijadikan ‘teksi’ untuk membawa orang ramai dengan sedikit bayaran. Jadi, tidak hairanlah jalan raya bersimpang-siur dengan motosikal, mini van, be-mo dan bendi (kereta kuda).

Penduduk Pariaman merupakan suku Minangkabau yang rata-ratanya beragama Islam. Mereka bertutur dialek daerah yang ada penambahan ‘a’ dalam beberapa ayat seperti pening menjadi ‘paniang’, anjing menjadi ‘anjiang’. Terdapat juga perkataan yang memiliki maksud yang terbalik seperti ‘awak’ bermaksud ‘saya’. Dialek lain ialah Bukittinggi, Pesisir Selatan dan Payakumbuh.

Institusi agama Islam dilihat subur di sini. Setiap kilometer pasti terdapat surau, masjid atau musolla di pinggir jalan. Di Kampung Baru misalnya, setiap simpang jalan terdapat rumah ibadat ini dan keadaannya lebih terserlah apabila azan subuh dilaungkan. Ia seolah-olah sahut-menyahut antara satu masjid dengan masjid yang lain.

Syiar Islam di Pariaman nampak jelas dan masyarakatnya berbangga dengan kehadiran tetamu yang singgah di masjid mereka. Suasana dalam masjid sama seperti masjid di negara kita cuma kain pemisah di antara jemaah lelaki dan perempuan berbeza iaitu empat lima saf dari imam. Kedudukan ini nampak tidak seimbang. Tambahan pula ketinggian kain pemisah yang rendah membolehkan jemaah lelaki melihat saf-saf jemaah wanita apabila memasuki ruang solat.

Kawasan masjid agak sempit untuk didirikan sekolah agama atau kiosk berniaga. Jadi, masjid tidak diinstitusikan sebagai pusat komuniti setempat. Ia hanya menjadi tempat untuk bersolat dan berkuliah agama.

Kesedaran terhadap kewajipan menjaga aurat ketika membuang air besar atau air kecil juga didapati rendah dalam kalangan jemaah. Sesetengah masjid hanya menyediakan satu tandas, itu pun dengan keadaan pintu tandas separas dada orang dewasa. Jika ada di antara kita yang meninjau keadaan tandas tersebut pasti ternampak ada orang sedang bertenggek di dalamnya. Bilik untuk buang air kecil mudah terdedah pada pandangan awam kerana ruangnya yang terbuka.

Keadaan masjid yang sebegini memberi gambaran kepada kita betapa masyarakat di sini masih jauh daripada mengamalkan adab dan akhlak dalam Islam. Hal-hal yang bersangkut-paut dengan konsep ‘Islam yang syumul’ tidak dipraktikkan sepenuhnya menyebabkan masyarakat berada dalam kejahilan.

Sepanjang jalan, rumah-rumah yang didiami adalah bersaiz kecil dan di sisi rumah biasanya ada sebuah gerai kecil untuk berniaga. Lumrah orang susah, penduduk Pariaman bijak berdikari walaupun hanya menjual jus buah atau minuman panas. Bagi yang memiliki sumber kewangan yang lebih sedikit, mereka menjual minyak petrol, makanan bergoreng, membuka warung kopi dan kedai gunting rambut (atau dipanggil ‘pangkas rambut’ di sini). Di pinggir-pinggir jalan terdapat deretan peniaga yang menjual hasil-hasil pertanian seperti ubi sengkuang, durian, jagung, ubi kayu dan sayur-sayuran.

Kemahiran memasak adalah pelaburan paling menguntungkan di sini. Tempat-tempat strategik di Pariaman dapat memberi rezeki yang berganda. Terapat banyak jenis masakan yang diusahakan seperti peche-lele, murtabak Mesir, murtabak Bandung atau roti bakar. Jika tidak pun boleh menjual jus buah-buahan yang dikendalikan dari kereta sorong sahaja. Oleh kerana ramai yang berniaga, banyak gerai segera muncul di sebelah malam dengan beraneka jenis masakan.

Fenomena umum di Pariaman ialah anak-anak muda tidak segan silu menolak kereta sorong mereka untuk menjual jus buah-buahan di pasar atau menjunjung talam menjual kuih-muih. Justeru kita lihat anak-anak muda yang berusia 20-an sedang menguruskan bisnes kecil mereka dengan menjual jus pokat, jambu merah atau mangga. Bagaimanapun bagi pelancong luar, kita wajar berhati-hati memilih gerai-gerai seperti ini kerana aspek kebersihan kurang diberi tumpuan. Ada di antara peniaga ini yang berkuku panjang, rambut panjang mengurai, memakai alas Jepun dan pakaian yang tidak kemas.

Melihat keadaan seperti itu ada yang beranggapan selagi tidak sakit perut, tempat makanan yang berkenaan dikira sebagai bersih. Walau bagaimanapun keadaan presmis di pekan Padang adalah lebih bersih berbanding di Pariaman.

Masakan Padang sangat mudah didapati dan ada di mana-mana. Sebaik melangkah masuk dan duduk di dalam restoran atau rumah makan, tetamu akan dihidangkan enam hingga sepuluh jenis masakan yang semuanya pedas. Bagi pengunjung luar, jangka masa tiga hari adalah tempoh yang paling lama untuk makan masakan Padang kerana hari keempat mereka sudah mula mencari serunding atau mee sup. Bagi yang tidak tahan dengan masakan pedas, barangkali mereka boleh mendapat buasir. Dalam masakan Padang, hanya lauk yang dimakan akan dikira. Contohnya, jika dihidangkan sepuluh jenis lauk dan kita makan empat lauk sahaja, harga empat lauk itu sahaja yang dikenakan bayaran, yang lainnya akan diambil semula.

Keunikan tradisi masakan Padang juga menarik. Pelanggan diberi sebuah mangkuk kecil untuk mencuci tangan. Setiap orang mendapat mangkuk ini. Walaupun ada sinki untuk mencuci tangan, tradisi ini masih dikekalkan. Namun, bagi penggemar teh tarik, minta maaf- di sini tidak ada teh tarik, yang ada hanya teh telor!

Keadaan sosial dan budaya masyarakat Minangkabau di Pariaman memberi gambaran jelas betapa mereka masih lagi dalam keadaan trauma dan sedih di atas kejadian gempa yang berlaku pada September tahun lepas. Kanak-kanak hilang tempat untuk belajar kerana bangunan sekolah tidak selamat. Mereka juga mudah mendapat sakit gatal-gatal pada kulit kerana tidak mendapat bekalan air bersih. Bagi orang dewasa, kejadian gempa mempengaruhi perkembangan psikologi mereka- risau kalau-kalau gempa akan berlaku lagi. Dari segi kesihatan, kebanyakan orang dewasa mengalami masalah pening kepala, mata berair dan rheumatik.

Di kawasan kampung masih terdapat kepercayaan terhadap larangan memakan ikan di sungai. Khurafat seperti ini telah berakar umbi dalam fikiran masyarakat dan ia menunjukkan amalan agama Islam masih kurang difahami. Anak-anak muda dilihat mengendong anjing di atas motosikal dan membawa anjing bersiar-siar di kawasan kampung. Keadaan ini sangat janggal kerana seratus peratus penduduk Pariaman beragama Islam sama ada di pekan ataupun kampung.

Berada di Pariaman dan melihat masyarakatnya seolah-olah kembali ke era 60-an atau 70-an. Dengan keadaan masyarakat yang hidup miskin dan rumah yang dhaif, banyak lagi usaha pembangunan yang perlu dilakukan oleh pemerintah Indonesia. Selain itu masyarakat juga perlu dididik untuk mementingkan kebersihan, membina lebih banyak tandas awam (kerana ada yang membuang air besar di tepi sungai di bandar Padang tanpa rasa malu), memikirkan tempat untuk masyarakat melakukan aktiviti di sebelah malam (kerana ramai duduk lepak-lepak sambil bermain terup) dan melibatkan anak-anak muda dalam aktiviti ekonomi.

Selain itu kesedaran masyarakat Islam terhadap amalan menutup aurat juga rendah. Ramai wanita dan anak gadis yang memilih untuk memakai pakaian yang ringkas seperti t-shirt dan seluar pendek ketika keluar dari rumah. Wanita dewasa pula dilihat memakai tudung.

Peranan pertubuhan kerajaan dari luar negara dapat membantu pemerintah memberi khidmat kesihatan kepada penduduk luar bandar khususnya di pedalaman. Ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan itu jarang mendapat rawatan di pusat kesihatan kerana jauh dari bandar dan kos pengangkutan yang tinggi. Oleh kerana ramai dalam kalangan orang dewasa yang rabun, pemberian kaca mata dapat membantu penglihatan mereka.

Pelajar-pelajar sekolah memiliki kemahiran membaca yang baik tetapi kelihatan kurus kerana kurang mengambil makanan berzat. Justeru menaja susu atau makanan percuma dapat membantu mereka belajar dengan lebih baik. Kursus-kursus bersifat membina diri juga sangat berkesan untuk membantu para pelajar merencana semula hidup mereka supaya menjadi katalis kepada perubahan hidup dalam keluarga.

Selepas gempa, Pariaman perlukan penglibatan masyarakat Islam seluruh dunia dan khasnya Malaysia. Gempa bumi akan berlaku lagi pada bila-bila masa dan keadaannya mungkin lebih teruk. Semoga Allah swt merahmati penduduk Pariaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan